Saturday 25 May 2013

POLITIK dari kata seorang ILMUWAN ISLAM


بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم

MASJID ITU GELANGGANG POLITIK.....

Agenda Islam dalam persoalan politik semasa sepatutnya akan lebih membersihkan dunia politik yang selalu disifatkan sebagao "a dirty game" 

Ini selaras dengan sifat Islam sebagai agama yang suci dan menyucikan. Jika apa-apa yang diperjuangkan oleh parti politik (tidak kira pihak kerajaan atau pembangkang) benar-benar Islam, langkah itu tentunya akan menghasilkan keadaan yang lebih positif.

Islam sudah sewajarnya mempunyai elemen untuk membersihkan dunia politik dan ahli politik. Anehnya, perkara ini tidak berlaku. Malah politik kelihatan menjadi lebih kotor apabila elemen "Islam" dimasukkan dalam persaingan parti-parti politik. Justeru, kini telah timbul satu persoalan; apakah politik telah "diislamkan" atau Islam yang telah dipolitikkan?

Satu isu yang sangat berkait rapat dengan persoalan ini ialah kaitan antara institusi masjid dengan politik. ada pihak beranggapan bahawa institusi masjid seharusnya bebas daripada sebarang kegiatan politik. Menurut mereka, para imam dan khatib tidak sewajarnya menggunakan khutbah dan kuliah agama sebagai platform politik. Agama dan politik mesti dipisahkan.

Tanggapan ini ada benarnya jika politik dilihat dalam realiti semasa. Umum kini melihat politik bukan lagi dari aspek ilmu dan falsafahnya, tetapi lebih diwarnai oleh perilaku parti dan gelagat ahli politik. Kebanyakan kita melihat politik sebagai sebuah gelanggang perebutan kuasal penggunaan wang, pertelagahan antara ahli-ahli parti, pembelotan dan tipu muslihat.

Menjelang plihan raya, kita melihat bagaimana kaedah-kaedah yang tidak bermoral akan digunakan untuk mencapai kemenangan. Kata-mengata dan cerca-mencerca misalnya, sudah menjadi suatu yang lumrah dan hampir diterima sebagai satu budaya politik semasa. Jika inilah wajah politik yang ada, maka wajarlah masjid diselamatkan daripada "kekotoran" itu. Politik sebegini bukan sahaja tidak layak dibawa masuk ke dalam masjid, malah di luar masjid pun tidak layak diamalkan!

Ada pula pihak lain yang beranggapan bahawa politik dan agama tidak boleh dipisahkan. Oleh kerana politik ialah salah satu cabang daripada ajaran Islam, maka para khatib, imam dan bilal berhak menyentuh isu-isu politik kerana ia memang satu persoalan dalam kehidupan. Bukankah Islam satu cara hidup? itu hujah mereka. Oleh sebab itu,tidak salah jika masjid dijadikan platform untuk menyentuh soal-soal yang ada kaitannya dengan politik.

Tanggapan ini juga ada benarnya dengan syarat politik dilihat dari segi erti, falsafah dan peranannya yang sebenar. Istilah "siasah" dalam bahasa Arab berasal daripada kata dasar yang bermakna, "to lead, to guide, to conduct, to direct". Jika politik dilihat menerusi dimensi ini, masjid bukan sahaja boleh dijadikan tempat berpolitik, bahkan mesti dijadikan pusat kegiatan politik.

Rasullulah SA..W pernah bersabda yang bermaksud: "Setiap kamu merupakan pemimpin dan setiap pemimpin akan ditanya tentang kepimpinannya." (Muttafaq'alaih)

Urusan ini sangat penting dalam ajran Islam kerana kepimpinan (politik) adalah antara alat untuk menegakkan ubudiyyah kepada Allah S.W.T. Lantaran itu, politik menjadi sesuatu yang bersih kerana ditunjangi oleh aqidah yang mantap, diipantau oleh syariat dan dihiasi dengan akhlak.

Sejajar dengan ini, Rasulullah S.A.W dan para sahabatnya telah menjadikan masjid sebagai tempat perbincangan dan mesyuarat untuk memimpin dan mentadbir manusia. Dari mimbar masjidlah Rasulullah S.A.W menjelaskan tanggungjawab pemimpin, peranan rakyat jelata, prinsip keadilan, susunan masyarakat, pembangunan ekonomi, pendidikan dan pelbagai urusan kepimpinan yang lain.

Islam tidak boleh terus kekal semacam "bahan komiditi" yang menjadi alat politik semata-mata. Kita tidak boleh melanggar nilai-nilai Islam dengan alasan untuk menegakkan Islam. Soal masjid boleh atau tidak dijadikan tempat berpolitik sebenarnya bergantung kepada bagaimana politik itu ditakrif, ditafsiran dan dipraktikkan.

Jika politik ditakrifkan dan dilaksanakan dengan tepat mengikut Islam, maka masjidlah tempat yang paling sesuai untuk berpolitik. Sebaliknya jika takrifnya tersasar atau dilaksanakan dengan cara yang salah, maka sewajarnya masjid "diselamatkan" daripada aktiviti politik.

SOLUSI 39 - ms : 3
Penulis = Muhammad Jihad

No comments:

Post a Comment