BUKU - FALSAFAH KETUHANAN - (HAMKA)

SINOPSIS


Alam terbentang luas dan manusia hidup di dalamnya. Dalam pancaindera dan akal yang ada padanya, manusia dapat mempersaksikan Alam itu dalam segala sifat dan lakunya. ADa kebesaran, keajaiban dan keindahan, dan ada perubahan-perubahan yang tetap. Kehidupan manusia itu sendiri tidak dapat diceraikan dengan Alam itu.Maka yang mula-mula timbul pada manusia itu adalah perasaan bahawa ada sesuatu yang menguasai Alam ini. Dia yang mengatur dan menyusun perjalanannya. Dia yang menjadikan segalanya. Dia Yang Maha Kuasa atas setiap sesuatu yang ada.Kesan pertama bahawa Ada Yang Maha Kuasa itu meratalah pada segenap manusia. Kerana kesan inilah yang tumbuh bilamana akalnya sudah mulai berjalan.

Bahawasanya ada sesuatu kekuatan tersembunyi di latar yang nampak ini. Yang selalu dirasai adanya, tetapi tidak dapat ditunjukkan tempatnya. Tidaklah pernah terpisah perasaan ini, walaupun bagaimana kepintaran manusia ataupun dia masih berfikir sederhana. Pada zaman akal itu mulai bertumbuh (primitif), khayalnya akan adanya yang ada itu diberinya berupa, menjadi perlambangan daripada perasaannya sendiri.




TOPIK 1 - Manusia Dan Agama Yang Ada


Alam terbentang luas dan manusia hidup di dalamnya. Dengan pancaindera dan akal yang ada padanya, manusia dapat mempersaksikan Alam itu dalam segala sifat dan lakunya. Ada kebesaran, keajaiban dan keindahan, dan ada perubahan-perubahan yang tetap. Kehidupan manusia itu sendiri tidak dapat diceraikan dengan Alam itu.


Maka yang mula-mula timbul pada manusia itu adalah perasaan bahawa ada sesuatu yang menguasai Alam ini. Dia yang mengatur dan menyusun perjalannya. Dia yang menjadikan segalanya. Dia Yang Maha Kuasa atas setiap yang ada.


Kesan Pertama bahawa Ada Yang Maha Kuasa itu meratalah pada segenap manusia. Kerana kesan inilah yang tumbuh bilamana akalnya sudah mulai berjalan. Bahawasanya ada sesuatu kekuatan tersembunyi di latar yang nampak ini. Yang selalu dirasai adanya, tetapi tidak dapat ditunjukkan tempatnya. Tidaklah pernah terpisah perasaan ini, walaubagaimanapun kepintaran manusia ataupun dia masih berfikiran sederhana. Di zaman akal itu mulai bertumbuh (primitif), khayalnya akan adanya yang ada itu diberinya berupa, menjadi perlambangan daripada perasaannya sendiri.


Macam-macamlah perasaan yang timbul disekeliling kesan terhadap Yang Ada itu. Kadang-kadang timbullah takut kepadanya dan kadang-kadang tibul pula rasa terharu melihat keindahan dan kebesaran bekas perbuatannya. Maka diadakanlah pemujaan kepada benda-benda yang seram. Kepada batu, pohon kayu seumpama beringin, gunung atau yang lebih nyata bagaimana berkembangnya pemujaan kepada yang ghaib itu menurut pengaruh keadaan hidup pada masa itu. Semasa kehidupan gua, disembahlah keseraman rimba dan kayu-kayuan dan batu. Kemudia itu disembah gunung. Dan setelah hidup berpindah dari gua batu ke tepi sungai, disembahlah air yang mengalir, dipuja pasang naik dan pasang turun. Dan kadang-kadang disembahlah juga ikan. Dan di zaman perburuan dipujalah binatang-binatang yang dirasa ada hubungannya dengan suku. Apabila kehidupan itu telah maju, dan telah berpindah ke zaman bercocok tanam, mula lah yang dirasa pertalian yang rapat di antara langit dan bumi, kerana kesuburan tumbuh-tumbuhan bertali dengan hujan dari langit. Maka mulailah mata mengadah ke langit. Di sanalah agaknya terletak rahsia Yang Maha Kuasa itu.


Manakah agaknya Pusat Kekuasaan besar itu? Ada pembahagiaan siang dan malam. Siang dan malam menyatakan pembahagian hidup. Dan siang dan malam adalah timbul kerana perjalan Matahari. Bila dia terbit, teranglah alam, dan dapatlah kita berusaha. Kalau dia terbenam, gelaplah hari dan timbullah ketakutan lantaran gelap. Sebab itu maka timbullah persangkaan bahawa Matahari pusatnya kekuasaan itu. 'HARI' adalah pertukaran di antara siang dan malam. Maka bola merah yang beredar itu adalah 'MATA'nya. Pergiliran di antara Siang dan Malam itu adalah Dia. Sebab itu maka kiamat Hari itu bererti juga Tuhan. dan kadang-kadang disebut juga 'Kala' iaitu masa dan ketika. lalu dinamainya Batara Kala.


Di sini sudah mulai agak maju manusia itu berfikir. Dia sudah mulai menggambarkan Kesatuan Yang Ada itu. Inilah pangkal persembahan kepada Matahari.


Kemudian itu terfikir pula bagaimana keindahan bulan purnama dan bagaimana pengaruhnya kepada tanam-tanaman dan binatang ternakan. Bagaimana pula pengaruhnya kepada pasang naik dan pasang turun. Maka kepercayaan kepada Bulan adalah tingkat yang kedua setelah terlebih dahulu mengesankan bahawa Kesatuan adalah pada Matahari.


Kemudia itu timbullah kepercayaan dan pemujaan kepada bintang-bintang. Cahaya bintang tampak di waktu malam, setelah Matahari tidak ada lagi dan setelah bulan lepas dari purnamanya atau belum meningkat purnamanya.


Pergantian bulan yang 12 kali dalam setahun telah ditentukan setelah dilihat bintang-bintang yang berganti kelihatan. Apabila genap peredaran bulan tadi sebanyak 12 giliran, bintang yang kelihatan dahulu jugalah yang kelihatan sekarang. Pergiliran bintang itu sangat bertali dengan musim. Ada musim hujan, dan ada kumpulan bintang yang kelihatan. Ada musim kemarau, yang lain pula bintangnya. Jika  melihat dari sudut kebendaanya saja, timbullah ilmu pengetahuan tentang perjalanan falak. Teptai dari sudut keghaiban kelihatan Maha Kekuasaan. Dan bertambahlah kepercayaan bahawasanya punca kekuasaan itu hanyalah Esa juga.


Manusia hidup berkelompok-kelompok, bersuku-suku. Sudah nyata bahawa mula-mula manusia itu melihat keluar lingkungan dirinya, baik kepada bumi yang terhampar, atau kepada langit yang terbentang luas. Sesudah itu menukiklah penglihatan tadi ke bawah, kepada diri sendiri dan kepada masyarakat yang ada sekeliling.


AKU telah ada di dunia ini. Dari mana datangku. Aku datang dari sebab perhubungan bersetubuh di antara kedua ibu bapaku. Maka terasalah bagaimana kuatnya tali perhubungan kehidupan manusiaa kerana adanya alat kelamin laki-laki itu. Seorang laki-laki merasai bagaimana kegagahan dan keperkasaanya mencari makan dan bersetubuh, kerana alat kelaminnya. Seorang perempuan merasa apa pentingnya hubungan dia sebagai perempuan dengan kawannya sebagai laki-laki kerana alat setubuh itu. Maka timbul pulalah kesan bahawasanya alat setubuh adalah rahsia segala kehidupan. Sebab tiu dia dipandang sebagai pusaka ghaib dan bertuah, yang harus diperlihara dan dipuja. Maka sejak kehidupan yang pertama itu, kelihatan bahawa alat setubuh itu disaktikan, ditutupi baik-baik, sehingga telah menjadi naluri turun-temurun dalam hidup manusia yang beribu tahun, merasa diri durhaka kalau aurat itu terbuka. Akhirnya menjadi rasa malu. Dan ini pula sebabnya maka salah satu pelambang persembahan bagi bangsa-bangsa dan suku yang masih sederhana itu ialah penggambaran dari alat bersetubuh. Bahkan pada kuil-kuil Hindu dan Budha pun masih dilihat puncak yang lekas membawa kesan bahawa itu adalah gambaran dari alat kelamin laki-laki.


Kepercayaan demikian merapatkan hubungan dengan ibubapa, bahkan menyebabkan ibu bapa pun menjadi persembahan dan pemujaan. Anak cucu dari bapa yang pertama pun berkembang biak. Namun hubungan dengan Bapa yang pertama tidaklah putus.


Adalah satu soal yang menambah kuatnya keghaiban itu Iaitu adanya MATI.


Kalau urusan rahsia kelahiran telah dapat dipecahkan dengan menyembah kepada alat kelamin, bagaimana dengan mati? Apa ertinya mati? Mengapa setelah hidup dengan sihat wal'afiat, kemudian terhenti saja hidup itu? Padahal tubuh masih ada? Dan kalau tubuh itu terletak lebih lama, dia pun busuk? Maka setelah seorang keluarga mati, meskipun badannya telah dibuang atau dikuburkan, terasa juga bahawa dia masih ada. Terasan bahawa dia masih ada di keliling kita. Dia rasanya belum mati. Kadang-kadang datanglah dia dalam mimpi. Sebab itu tumbullah kesan bahawa di samping tubuhnya yang kasar itu ada lagi 'halus'nya. Halus itu sewaktu-waktu datang kembali hendak melihat anak cucunya, melindunginya seketika dia ditmpa bahaya. Atau dia mengganggu kalau hatinya tidak senang! Maka timbullah pula pemujaan kepada halus orang setelah mati.


Orang-orang yang dituakan yang masih hidup tentu rapat perhubungan dengan halusnya orang yang telah mati itu. Kerana dia yang lebih berkuasa dan lebih besar di antara kelompok suku. Maka tumbuhlah kepercayaan bahawa kepala suku bukan saja mengepalai kehidupan sehari-hari, tetapi menjadi perantaraan juga dengan halusnya orang yang telah mati.


Kesan itu masih tampak pada beberapa Kerajaan-kerajaan Besar di Timur, yang berasal daripada tumbuhnya kekeluargaan besar. Maharaa adalah Bapa dari seluruh rakyat yang bernaung di bawah panji-panjinya. Dia juga kepala agama dan juga dukun. Maharaja Tiongkok dinamai 'Putera Langi'. Dan di jepun ada kepercayaan bahawa Maharajanya adalah keturunan daripada Dewa Matahari (Amaterasu Omikami)





TOPIK 2 - Penyelidikan Ahli-Ahli

Lamalah sudah ahli-ahli pengetahuan tentang Ilmu Manusia menyelidiki, manakah yang terlebih dahulu tumbuh dalam pikiran manusia terhadap adanya Yang Maha Kuasa atau Yang Ghaib itu. Apakah terlebih dahulu mereka mempercayai adanya 'nyawa' pada segala benda, yang mereka namai dinamisme? Atau apakah sesudah itu baru ada kepercayaan kepada halusnya nenek-moyang, misalnya kepercayaan kepada keturunan harimau, buaya, serigala dan lain-lain (totemisme), dan kapankah timbulnya pemujaan kepada alat kelamin? Menyusun mana yang terdahulu tumbuh dan mana terkemudian tiadalah terdapat persesuaian. Cuma satu hal yang mereka sesuai semuanya, iaitu tentang kepercayaan asas adanya Maha Kuasa Ghaib yang mempengaruhi dan mengatur perjalanan segenap kelihatan ada ini.

Dan di tanah Indonesia sendiri dapatlah disaksikan bahawasanya kepercayaan demikian masihlah ada bekas atau sisanya. Di beberapa daerah masih ada sisa kepercayaan kepada 'semangat' nenek-moyang, sehingga di dalam perkahwinan masih tersisa adat menepungtawari. Demikian juga terhadap orang yang baru sembuh dari sakitnya, atau orang yang baru pulang dari perjalanan. semuanya ditepungtawari, iaitu dipanggil semangat kembali (kur semangat!) . Mantera-mantera sisa zaman bahari, dengan memakai kunyit yang dipersimbang, ataupun dengan memberi rajah pada kening, semuanya adalah sisa dari kepercayaan itu. Di beberapa tempat, seumpama di Jawa masih ada sisa kepercayaan kepada tuah kuda, tuah ayam dan burung. Dan di beberapa tempat lagi masih ada kepercayaan sisa, bahawa seorang raja berasal dari buaya, atau dari dewa (Swiriganding di Bugis). Minangkabau terhadap Cindur Mato, Melayu tentang Sang Sapurba.

Di dalam dongen Cindur Mato ada tersebut bahawasanya Raja-Raja Minangkabau adalah keturunan dari Indra-Jati, Iaitu dewa dan langit. Ada kuda bertuah nama'Si Gumarang', ada pula kerbaunya 'Si Benuang', ada pula ayamnya 'Si Kinantan', dan mempunyai keris 'Sempena Ganja Iras' yang sangat bertuah, sehingga Jejak ditikam pun mati juga.

Orang Melayu mempercayai bahawa rajanya yang pertama adalah turun dari Bukit Siguntang Maha Meru.

Kepercayaan kepada tuah padi merata di mana-mana. Sebab padi adalah makanan pokok bagi bangsa-bangsa Asia tenggara. Padi bernama 'Sang Hyang Sri'.

Di negeri-negeri yang belum, merata kepercayaan Agama Islam, atau telah merata tetapi belum diketahui hakikat ajarannya, bekas kepercayaan tua itu masih ada. Kuat lemahnya bergantung kepada lemah dan kuatnya Pengajaran Agama Islam di tempat itu.  Tetapi satu hal telah nyata, iaitu kepercayaan kepada Yang Maha Kuasa itu sedia telah ada dalam bakat jiwa manusia sendiri.




TOPIK 3 - Alam Falsafah

Setelah kita renungi bagaimana penyair Yunani yang besar itu telah menyairkan 'Peperangan-peperangan' di antara dewa-dewa., kerana pengaruh perasaan tentang adanya Yang Ada!Jika kita tilik ke dalam sejarah pertumbuhan Falsafah di Yunani, nampak bahawa sebelum datang masa berfalsafah, telah ada lebih dahulu

.Tetapi mereka mengakui bahawasanya yang menjadi pusat seluruh dewa yang berpuluh ribu banyaknya, sebanyak bintang di langit itu, ada Dewa Besar, iaitu

Mulanya timbul berfikir semata falsafah. Dimulai oleh Thales, yang hendak menyelidiki asal usul segala yang ada dari segi kenyataannya. Maka berpendapatlah ia bahawa asal segala sesuatu ialah air. Diikuti oleh Anaximandros yang mengatakan asal segala, ialah nous: yang tidak berkesudahan. Dan Anaximenes, yang mengatakan asal segala ialah wap. Phytagoras yang mengatakan asal segala ialah angka. Dan pokok segala angka ialah satu.

Tetapi Falsafah Alam itu kemudiannya dikembalikan oleh Sokrates kepada Falsafah Diri. Setelh engkau menengadah langit, sekarang sudah masanya engkau meniliki dirimu sendiri. Timbullah permulan dari Ilmu Jiwa (psikologi) da Ilmu Akhlak (Ilmu Budi Pekerti, Etika. Murid Sokrates, Plato yang terkenal menyempurnaan lagi. Lalu timbul hsil penyelidikan tentang adanya Yang maha Kuasa. Yang Maha tunggal, Penggerak dari segala. Itulah Tuhan! Dari segi Falsafah, bukan lagi dari segi kedngengan (mitologi). Beiua menyatakan pendapat bahawa di balik Alam yang nyata ini, adalah Hakikat Yang Maha Tinggi; yang dari sana kita datang,dan ke saa kita akan kembali. Tanda adanya ialah kerana keinginan kita selalu hendak pulang kepada-Nya. Dialah kebenaran Yang Mutlak.
Aristotles murid Plato mempelopori Falsafah berhubung hedak mengtahui Hakikat daripada Yang Ad itu. Dialah 'Penggerak Yang Tidak bergerak'. Dialah yang Wajibul Uj'ud, yang pasti adanya. Adapun Ada yang nampak oleh pancaindera ini hanyalah yang Mukmin ul Ujud.
  
Maka berkembanglah tinjauan kepada Yag Ada itu menurut falsafah. Dari zaman ke zaman. Dari Yunani ke Romawi. Di Tiongkok di India. Bakan di segala pelosok Dunia, kerana adanya akal manusia itu sendiri. Dari Falsafah Yunani berkembang biak, sampa biak, sampai akhirnya disambut oleh yang disebut Falsafah Moden, yang dimulai dari zaman Descartes. Terjadilah pertikaian di antara Ahli Falsafah tentang Yang Ada, tentang asal segala sesuatu, apakah semata benda atau semata nyawa, atau gabungan di antra keduanya. Timbul jua peyelidikan apakah Akal dan pikiran itu? Apakah dia di luar dri otak, iaitu dua barang. Atau adakah dia bekas dari kerja otak. Dibicarakan pula hidup manusia! Apakah hidup itu? Apakah hidup hanya terdapat lantaran masih mengalirnya darah dalam tubuh, dan bila darah telah dingin, terhenti atau habislah hidup. Sehingga dapat ditetapkan bahawasanya hidup itu adalah bekas dari panasnya darah?
Tidaklah terdapat kebulatan pendapat tentang hal itu. Sebab ujung segala perjalanan fikiran itu akhirnya akan tertumbuk kepada suatu tebing yang tidak dapat diseberangi lgi.
Apakah Alam ini terjadi sendirinya? Atau Ada Yang menjadikan? Bagaimanakah perhubungan Yang menjadikan dengan yang dijadikan, kalau memang ada yang menjadikan itu?

Sejauh-jauh perjalanan Akal, mestilah ada ujungnya, mesti ada perhentiannya. Di seberang yang seelah sana tidaklah dapat dicapai lagi. Keputusan mesti diambil; tentag Ada atau Tidak Ada!
Memutuskan Adanya, semata-mata dengan fikiran mnusia yang lemah ini, tidaklah mungkin. Dan lebih tidak mungkin pula memutuskan bahawa dia TIDAK ADA.
Sebab itu, walaupun ada aliran Falsafah yang mengatakan, Tidak Ada, dia dibantah oleh yang mengatakan Ada!
Akhirnya, apakah jadinya Falsafah itu?
Akhirnya Falsafah itu tidak lain daripada mengumpulkan berbagai-bagai bentuk fikiran, hanyatentang dua soal, iaitu : Ada atau Tidak Ada! Belum dapat falsafah mengemukakan soal lain,yang ketiga, yang di luar daripada Ada dan Tidak Ada. Dan itu pun tidak mungkin. Itu sebabnya maka bagaimanapun kemajuan Falsafah, dia hanya dapat memperkembangkan kedua soal itu saja. Atau memisah-misahkan soal-soal yang timbul dari pokok falsafah, lalu djadikan Ilmu yang tersendiri, dan dehentikan pembicaraan dari hal Yang Ada atau Tidak Ad! Dan berhenti mmbicarakan bukanlah ertinya bahawa soal 'Ada-Tidak Ada' tidak ada lagi.




TOPIK 4 - Agama Fitrah Dan Islam

Setelah kita tinjau perkembangan hidup manusia dan perkembangan caranya berfikir, sejak dari zaman sangat sederhana (primitif), sampai dia meningkat bermasyarakat, naytalah sudah bahawa pokok asli pendapat ialah tentang Adanya Yang Maha Kuasa dan Ghaib.

Inilah perasaan yang semurni-murninya dalam jiwa manusia. Kalau terjadi manusia itu membantah adanya Yang Ada, bukanlah itu permulaan. Tetapi itu adalah kemudian, kerana keraguan yang timbul tengah dia mempergunakan fikiran. Kadang-kadang sekeras-kerasnya membantah, terdapatlah bahawa pembantahan itu bukan dari lubuknya. Sebab bukanlah begitu asli jiwa manusia.

Sejak pertengahan Abad Kesembilan Belas, telah terkenal sampai pertengahan Abad Kedua puluh ini ajaran Karl Marx Yang dipraktikan dengan Komunisme, Yang berdasar Historis-Materialisme. menyatakan pendapat, bahawa tidak ada sesuatu di luar dari Alam Kenyataan ini. Agama, Tuhan dan sebagainya hanyalah 'buatan' manusia saja. Mereka runtuhkan gereja, mereka anjurkan anti-agama. Tetapi akhirnya meninggallah Lenin dan Stalin. Bangkai ertinya 'benda-bangkai' yang mereka hormati. Padahal apakah ertinya 'benda-bangkai' yang mereka hormati laksana disembah oleh orang beragama itu? Mereka tentu menjawab bahawa bukanlah bangkai itu yang dihormati, tetapi fikiran Lenin - Stalin. Apakah fikiran itu? Bendakah? Bukan! Jadi apa? Fitrah mereka sendiri tidak dapat dihalangi buat mempercayai Adanyakeghaiban fikiran. Maka dari manakah datangnya fikiran itu? Kalau dikatakan bahawa dia hasil dari benda (bangkai) yang terlentang itu, mengapa batu dan pasir yang laim tidak mengeluarkan fikiran sebagai benda yang bernama Lenin dan Stalin? Dan akhirnya? Stalin ternyata bukan orang yang patut dighaibkan dan dituahkan. Tetapi seorang yang sejahat-jahatnya pada pandangan mereka.

Pendeknya kalau dia membantah, dia adalah membantah jiwa murninya sendiri. Lidahnya tidak mau mengatakan apa yang sebenarnya terasa di hatinya.

Sebab itu maka perasaan akan adanya Yang Maha Kuasa adalah fitrah manusia.

Dicubanya mem'filsuf'. Sampai berjalan akalnya sejauh-jauhnya mungkin. Akhirnya tertumbuk kepada dinding yang tak kuasa diseberangi lagi. Sampai di sana pun kalau dia akan mengatakan Tak Ada, dia harus mengumpulkan terlebih dahulu sebanyak-banyaknya alasan untuk memungkiri Adanya. Oleh kerana pengakuan Yang Ada tumbuh dalam fitrah, sangatlah payah orang yang memungkiri itu. Sebab memungkiri fitrahnya sendiri.

Oleh sebab kesan pertama tentang Adanya Yang Ada, adalah fitrah jiwa diakuilah kemurnian dan ketinggian martabat manusia daripada makhluk yang lain. Dia berakal, dan pendapat akal yang mula-mula ialah kepercayaan kepada Yang Ghaib.

Sebab itu maka agama manusia yang mula-mula itulah Agama Fitrah.

Setelah manusia merawang, berfikir, merenung, membanding mengukur, menjangka, pendeknya memfilsuf, akhirnya sampaila dia di ujung perjalanan. Di dinding yang tidak terseberangi lagi itu. Segala macam telah dicubakannya. Akhirnya yakinlah dia bahawa memang Ada sesuatu itu. Dialah Yang Mutlak, dialah Yang Maha Kuasa. Dialah puncak dan puncaknya ideal (kata Plato). Dialah Tao, yang tidak dapat diberi nama (kata Lao Tze). Maka insaflah manusia akan kelemahan dirinya dan insaf akan ke Maha-Besarnya Yang Ada itu. Makamenyerahlah dia dengan segala rela hati. Penyerahan yang demikian dalam bahasa Arab dinamai Islam.

Jadi dibaikkanlah sangka akan kemurnian manusia. Pada pokok mulanya dia mempunyai jiwa murni(fitrah), walaupun dia masih dikatakan primitif. Bahkan di zaman akhir-akhir ini ahli-ahli pengetahuan sudah kerap kali meninjau kembali tuduhannya selama ini terhadap manusia primitif.

Dan diabaikan pula sangkaan bahawa sehabis-habis dan sejauh-jauh perjalanan Akal manusia, dia akan bertemu suatu perhentian, iaitu insaf akan kelemahan diri, berhadapan dengan Yang Maha Kuasa, Maha Perkasa, dan tunduk tersipu di bawah cerpunya.

Permulaan perjalanan dinamai Fitrah. Akhir perjalanan dinamai Islam.

Seluruh kemanusiaan adalah dari satu kekeluargaan. Dan Fitrah mereka senantiasa mencari hubungan dengan Yang Menjadikannya: sampai dia menyerah (Islam).




TOPIK 5 - Iman, Akal, & Taklid

Iman yang bererti percaya, dan  islam yang bererti menyerah dengan segala senang hati dan rela, timbulnya ialah setelah akal itu sendiri sampai kepada ujung perjalanan yang masih dapat dijalaninya. Oleh sebab itu maka bertambah tinggi perjalanan akal, bertambah banyak alat pengetahuan yang dipakai, pada akhirnya bertambah tinggi pulalah martabat Iman dan Islam seseorang
Itu pula sebabnya maka Nabi Muhammad (SAW) pernah mengatakan :
ٱلدين هوالعقل لا دين لمن لا عقل له = Agama itu ialah akal. Dan tidak ada agama pada orang yang tidak berakal.
Kelazatan dan kepuasan Iman itu hanya didapat dengan perjalanan akal yang lanjut
Dan tersebut pula dalam firman Allah : 
قُلۡ هَلۡ يَسۡتَوِى ٱلَّذِينَ يَعۡلَمُونَ وَٱلَّذِينَ لَا يَعۡلَمُونَ‌ۗ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُوْلُواْ ٱلۡأَلۡبَـٰبِ
Maksud: Katakalah - adakah sama orang-orang yang mengetahui (orang berilmu) dengan orang-orang yang tidak mengetahui (orang jahil), Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna. (Surah Az-Zumar , Ayat 9)
Maka Iman atau Islam yang hanya dipusakai belaka, atau hanya dikerjakan kerana turut-turutan, belumlah tentu kesempurnaannya. Meskipun bagaimana teguhnya mereka memegang segala pokok agama, maka pegangan itu mudahlah lepasnya, kerana pertahanannya tidak ada di dalam lubuk kesadaran jiwanya sendiri. Seumpama orang-orang kampung di dalam masyarakat mereka yang agama telah menjadi sebahagian daripada kehidupannya sehari-hari. Tiba-tiba pindahlah dia ke kota. Maka kian sehari kian tanggal dan tinggallah agama itu daripada dirinya, kerana orang di kiri kanannya sudah berubah sama sekali daripada yang dipergaulinya dahulu. Dan agama yang dikerjakan hanya kerana turut-turutan (taklid), amat takut akan ujian akal. Dia lekas sekali murka dan menuduh 'keluar dari Agama', kalau ada orang menyatakan fikiran yang berbeda daripada apa yang diterimanya daripada guru-guru dan nenek moyangnya.
Dengan itu nyatalah bahawa yang dimaksudkan dengan 'Aku percaya' dan 'Aku menyerah dengan segala senang hati', adalah ucapan serta-merta (spontan) yang keluar dari lubuk jiwa manusia setelah dicubakannya sendiri mempergunakan akal dan fikirannya, sampai selanjutnya mungkin. Akhirnya bertemulah dia dengan suatu akhir perjalanan yang akal tak dapat memberi keputusan lagi, sebagaimana yang kita terangkan di atas tadi.
Apa sebab dia tidak dapat memberi keputusan?
Dia hendak mencari keputusan apa yang dikatakan benda! Padahal dia adalah hidup dalam lingkungan benda itu sendiri! Padahal dia pun benda! Dan dia hendak mencari apa dan siapa Zat yang mengatur benda. Padahal mencari dirinya sendiri pun akal itu tidak tahu!
Seorang pujangga Jerman yang masyhur, Goethe pernah berkata. 'Jika begini yang dikatakan Islam, mengapa aku tidak masuk ke dalam golongan seorang Musliim?'
Maka saat-saat penting, iaitu menyerah dengan segala senang hati, percaya dengan penuh keinsafan, mungkin pernah datang kepada setiap orang yang berfikir dan mempergunakan akalnya, walaupun dia bangsa apa atau beragama apa.
Dan mungkin pula orang-orang yang telah mengakui dirinya Islam, Umat Islam dan ibu bapanya Islam, hidup dalam masyarakat Islam, harus memeriksa kepercayaan itu kembali, sebab sudah terlalu jauh keluar dari pokok asalnya.
Dan jauh benarlah perbedaan ertinya di antara Percaya (Iman) dengan menurut sajalah. Sebab Iman adalah pendapat sendiri, di dalam perjalanan hidup mencari kebenaran, yakni kesungguh-sungguhan yang tidak pernah berhenti, sehingga insaf kelemahan diri di hadapan Kebesaran Yang Maha Besar. Adapun percaya sajalah! adalah menurut dengan membuta tuli apa yang dikatakan orang lain, atau apa yang diterima dari guru, sehingga akal sendiri menjadi beku tidak bergerak. Dan apabila telah timbul kebekuan itu, beku pulalah paham agama dan tidak lagi bercahaya sinarnya. Itulah yang bernama TAKLID. Taklid adalah musuh kemerdekaan Akal!



TOPIK 6 - Dari Sudut Yang Mana Mencari Tuhan (Segi Keindahan)


Menurut penyelidikan ahli Ilmu Jiwa, adalah jiwa kita manusia ini mempunyai tiga sudut yang penting di dalam memperhubungkan diri dengan Alam. Pertama perasaan, kedua fikiran dan ketiga kemahuan. Katanya, apabila perasaan kita yang lebih terkemuka dari antara ketiga sudut itum maka kita akan menjadi seorang Seniman. Dan apabila fikiran yang lebih terutama, nescaya kita akan menjadi seorang Filsuf. Dan jika Kemahuan (Iradat) yang lebih terkemuka, inilah alat bahawa orangnya akan menjadi pahlawan atau seorang pemimpin yang terkemuka dalam bangsanya, atau seorang ahli agama yang membawa fahaman pembaharuan. 

Maka apabila kita cenderung ke dalam seni dan keindahan (estetika), cubalah rasai Adanya Allah di dalam keindahan Alam. Fikirkanlah, siapakah dan apakah kekuatan atau tenaga yang menyebarkan keindahan ini, sehingga nampak segala sesuatu dengan tersusun dan teratur?

Pandanglah dia di dalam kebesaran laut dan kebesaran bukit dan gunung. Keindahan Matahari seketika terbit dan seketika terbenam. Dalam keindahan bentuk dan keindahan warna. Sehingga pun angin sepoi yang melambaikan pada serumpun bambu di pinggir hutan, sehingga menimbulkan kicut pun mengandung ajaibnya keindahan. Alam yang luas itu kelihatan hening, tetapi dia sentasa berkerja. Tiap dipandang tiap tampak suatu keganjilan.

Rasa seni akan bangkit melihat fajar menyingsing, dan tidak lama kemudian matahari pun terbit dan margasatwa berbunyi bersahut-sahutan. Engkau lihat embun pagi menyentak naik, dan semangat baru meliputi alam di sekitarmu. Engkau seakan-akan puas meskipun tidak minum. Engkau seakan-akan kenyang, meskipun tak makan. Bahkan hempasan ombak ke tepi pantai diiringkan oleh angin lautan yang nyaman, seakan-akan memandikan jiwa kita sendiri. Bilamana hari telah malam, kita lihat pula bintang berselerak di halaman langit. Dia berkelap-kelip, seakan-akan orang tersenyum, dan yang disenyumi ialah kita. Melihat itu semuanya, bukanlah sedikit kesannya kepada jiwa kita sendiri. Seakan-akan kita telah menjadi ahli waris dari Alam itu, dan kita pun jatuh cinta kepadanya. Kerana dari dialah timbul keindahan yang telah merekam jiwa kita. Kesudahannya kita puncintalah kepada diri kita sendiri, sebab diri itu mencintai Alam. Dalam terharu yang bersangatan, lantaran terpesona oleh Keindahan Alam, tidak semena-mena terlompatlah dari mulut kita ucapan yang betul-betul keluar dari hati :'ALLAH"

Suatu keindahan yang tidak putus-putuslah Alam itu. Kitapun bersyukur dapat mengenal dan mengecap keindahan itu. Terasa bahawa diri kita sendiri adalah sebahagian daripada Alam. Bertambah terang pelita hati kita, bertambah terang pulalah mata kita melihat Alam. Dan tidak ada ucapan lain yang ssekaligus dapat mencentuskan apa yang terasa dalam hati kita, selain satu kalimat saja: 'ALLAH!'

Itulah intisari kehidupan Seniman.


TOPIK 7 - Fikiran, Ilmu dan Falsafah

Bertambah lanjut fikiran dan Ilmu, bertambah tercenganglah kita melihat ganjil dan hebatnya undang-undang atau peraturan yang telah ada dalam Alam. Ilmu kita hanya dapat mengetahui adanya aturan itu. Tetapi kita sendiri tidak dapat menciptakan yang lebih indah dari itu. Kita hanya dapat menyusun aturan baru, yang tidak boleh keluar dari acuan aturan yang asli dalam Alam itu. Dari pintu mana pun kita boleh masuk! Baik dari logika atau dari Ilmu Hitung tertinggi. Dari Ilmu Handasah (ukur) atau Kimia, dan dari mana saja.

Sejak dari atom yang sehabi-habis kecil sampai kepada Matahari yang sehabis-habis besar dalam lingkungan Alam kita, dan beribu Matahari dalam lingkungan Alam lain. Sejak dari pasir halus sampai kepada bukit dan gunung. Sejak dari bumi sampai kepada langit. Pada semuanya itu terdapat aturan umum, menurut yang terdapat pada zarah yang kecil. Peredaran proton, neutron dan elektron dalam lingkungan zarrah, sama aturannya dengan peredaran Matahari kita dengan bintang-bintang sayarahnya. Sehingga yang satu dapat dikiaskan kepada yang lain.

Setiap maju Ilmu Pengetahuan itu selangkah lagi ke muka, setiap bertemu pulalah undang-undang baru, yang tadinya belum dikenal sehingga Openheimer sarjana Atom Amerika yang terbesar itu, takjub melihat besarnya rebolusi yang ada dalam kalangan Ilmu Pengetahuan yang membukakan kemungkinan-kemungkinan baru dan besar, yang selama ini tidak dapat dikira-kirakan. Teori 'relatifitas' yang dikemukakan oleh Einstein, bagi orang yang beriman, menambah lagi Imannya bahawasanya kekuasaan Mutlak terletak di tangan Tuhan. Apakah lagi setelah ahli fisika yang terkenal Marcel Schein mendapat pula teori baru, bahawasanya proton ada lawannya (antinya). Bila bersentuh proton dengan anti proton, maka keduanya akan saling menghancurkan. kerananya, anti proton dapat menghancurkan segala benda yang tersusun daripada proton, termasuk bumi!

Maka kalau selama ini agama itu mengajarkan bahawa Qiamat mesti datang, dengan majunya Ilmu Pengetahuan, iman kita pun bertambah. Teori Marcel Schein ini menghilangkan keraguan selama ini tentang Qiamat itu, Selama ini kita tidak dapat mimikirkan tentang adanya kemusnahan. Kita hanya berfikir tentang perubahan keadaan benda. Kalau undang-undang yang tersembunyi dalam Alam itu belum diketahui bukanlah ertinya dia tidak mempunyai aturan, melainkan kitalah yang 'belum tahu aturan'.

Kalau kita ingkari bahawa undang-undang itu ada pada seluruh Yang Ada, yang ganjil dan dahsyat, ertinya kita memungkiri adanya Ilmu pengetahuan itu sendiri. Sebab Ilmu Pengetahuan ialah mencari dan mengetahui undang-undang itu. Dan dengan demikian Falsafah pun harus kita mungkiri adanya. Sebab akhir dari ilmu adalah awal dari Falsafah.

Tidak syak lagi bahwasanya ini diatur dengan undang-undang yang dapat diterima oleh dasar hukum yang ada dalam Akal kita sendiri. Kalau undang-undang itu tidak dapat diterima oleh akal, itu pun lebih mustahil. Sehingga boleh ditegaskan bahawasanya memungkiri adanya Akal, sama ertinya dengan memungkiri adanya Alam. Sebab itu maka Al-Farabi mengatakan bahawasanya perjalanan seluruh Alam ini diatur oleh dan dengan 'Al-' Aqlul Awwal' (Akal Pertama).

Yang dikatakan Kosmos atau Yang Ada, atau Al-Koon ialah Benda,Gerak,Ruang, dan Waktu, dan Undang-undang dan ada pengaturnya.

Akal kita sendiri berhenti hingga itu. Iaitu apabila ada undang-undang, pasti ada pembuat undang-undang. Dari pintu yang mana pun kita masuk, kita mesti tertumbuk kepada kepastian adanya pengatur.

Kalau kita katakan itu ialah tabiat (natuurwet) itu sendiri, yang bebas merdeka di dalam benda, bukan di luarnya; maka berbilang kebebasan dan kemerdekaan sebanyak benda tegasnya sebanyak zarrah itu.

Mengapa zarrah itu sama aturannya, padahal masing-masing bebas?

Kalau kita katakan dia telah sepakat begitu, tampaklah bahawa masing-masingnya tidak ada yang merdeka lagi, kerana telah terikat oleh sesuatu yang bernama kesepakatan!

Kalau kita dikatakan bahawasanya natuurwet (undang-undang) dalam benda itu bebas bertindak sendri, maka ujud itu pun kacaulah, tidak ada persesuaian, kerana tidak ada yang mengatur. Tidak ada yang mengatur, ertinya tidak ada aturan. Padahal aturan itu ada! Kalau dikatakan bahawa kemahuan zarrah itu bersamaan (paralel), nyatalah bahawa sampai ke hujung masing-masing tidak akan bertemu. padahal dalam segalanya jelas pertemuan! Kalau dikatakan persamaannya itu adalah Kebetulan sebab semuanya merdeka, timbul pula keraguan kembali atas kemerdekaannya itu. Sebab kemerdekaan masing-masingnya hanya dapat dibuktikan jika kita melihat perlainan jalanya.

Sebab itu memutuskan bahawa pengatur itu tidak ada, adalah memutuskan suatu fikiran dalam kekacauannya. Sebab lebih sangat sukar mengatakan bahwa zarrah itu mengatur dirinya sendiri, dan lebih sukar lagi jika dikatakan bahawa zarrah itu menjadikan dirinya sendiri atau terjadi sendiri.

Kalau ditetapkan pula suatu kemungkinan bahawa Pengatur itu memang ada, dan dia bebas daripada benda, ruang dan waktu, dan berbuat sekehendaknya, maka dengan sendirinya kita memindahkan kesulitan memikirkan benda kepada kesulitan memikirkan pengatur. Kalau sudah itu yang difikirkan, sendirinya kita pun keluarlah dari hukum yang selama ini menjadi pedoman menggunakan akal, iaiitu 'sebab-akibat' (kausalitas). Sebab, hukum sebab-akibat dipakai dalam Alam dan akal itu sendiri pun termasuk Alam juga. Maka nyatalah bahawa Akal tak kuasa, tak 'kompeten' buat sampai ke daerah itu.

Perjalanan hanya hingga itu, yakni Ada Yang Mengatur. TITIK!

Terpaksa kita pulang kembali ke dalam Alam tadi. Dan itu lebih baik, sebab di setiap-tiap sudutnya ada undang-undang yang dahsyat, satunya melebih yang lain. Yang jelas tampak ialah kesatuan Aturan. Di mana saja!

Anak baru lahir, belum bergigi - Ada susu!
Gigi sudah tumbuh, tetapi masih lunak: - Ada pisang!
Pencernaan sudah mulai kuat: gigi pun sudah kuat tumbuhnya.

Setiap bahagian dari tubuh manusia ada tugasnya sendiri. Diri manusia adalah kerajaan besar, tempat segala makhluk meniru  meneladan di dalam mendirikan Kerajaanya. Ditekan pada Alif, mengontak sampai ke Ya'a!



TOPIK 8 - Apakah Hidup Itu?

memang, ilmu telah sangat maju dan pengetahuan manusia telah dapat dibanggakan. Terutama pada dua abad yang akhir ini, adalah kemajuan Ilmu Fisika yang sangat mengagumkan, sehingga jika ditakdirkan nenek-moyang kita yang hidup tiga atau empat abad yang telah lalu, keluar dari dalam kuburnya, sekali lintas ia akan mengatakan bahawa umat manusia yang sekarang ini adalah Jin, tidak manusia lagi.

Ilmu ketabiban dan pembedahan, sudah sangat maju. Ubat-ubatan yang baru dan ajaib khasiatnya. Pinisilin saja misalnya, bukan sedikit menolong mengurangi penderitaan manusia.

Alat dan teknik, mesin dan jentera pendapat baru, membuat manusia abad sekarang menjadi bangga, seakan-akan manusia telah dapat menunduk dan menaklukkan Alam. Tetapi dapatkah sarjana yang bagaimana jua pun pintarnya menciptakan nyawa? Dan dapatkah mereka menjawab jika ditanyakan: 'Apakah hidup itu? Dari mana datangnya dan bagaimana kesudahannya?'

Dengan cepat orang dapat memberikan jawab bahawa segala yang hidup itu, baik tumbuh-tumbuhan, baik binatang atau manusia sekalipun, adalah susunan sel. dan setiap sel adalah sesusunan kimia dari Karbon, Hidrogen dan Oksigen dan Nitrogen. Kalau anasir telah tersusun menurut pergenapan tertentu, terciptalah sel.

Baiklah! Susunlah segala anasir itu menurut ukuran yang tertentu, namun sarjana itu tak juga dapat memberinya hidup.

Tuhan mengambil misal di dalam Qur'an tentang binatang yang hanya kecil saja, dan dirasa tidak penting iaitu Lengau!

يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ضُرِبَ مَثَلٌۭ فَٱسْتَمِعُوا۟ لَهُۥٓ ۚ إِنَّ ٱلَّذِينَ تَدْعُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ لَن يَخْلُقُوا۟ ذُبَابًۭا وَلَوِ ٱجْتَمَعُوا۟ لَهُۥ ۖ وَإِن يَسْلُبْهُمُ ٱلذُّبَابُ شَيْـًۭٔا لَّا يَسْتَنقِذُوهُ مِنْهُ ۚ ضَعُفَ ٱلطَّالِبُ وَٱلْمَطْلُوبُ

Maksud : Wahai umat manusia, inilah diberikan satu misal perbandingan, maka dengarlah mengenainya dengan bersungguh-sungguh. Sebenarnya mereka yang kamu seru dan sembah, yang lain dari Allah itu, tidak sekali-kali akan dapat mencipta seekor lalat walaupun mereka berhimpun beramai-ramai untuk membuatnya dan jika lalat itu mengambil sesuatu dari mereka, mereka tidak dapat mengambilnya balik daripadanya. (Kedua-duanya lemah belaka), lemah yang meminta (dari mendapat hajatnya), dan lemah yang diminta (daripada menunaikannya). Surah Al-Hajj 73

Semuanya, sejak dari yang kecil sampai kepada yang besar, tersusun dari karbon, hidrogen, oksigen dan nitrogen. Tetapi sarjana yang katanya mengetahui itu hanya sekadar dapat mengetahui ada, namun mereka tidak sanggup memberinya hidup. Hidup ini sendiri tidaklah akan sanggup seorang jua pun manusia mengupasnya, mencari pangkalnya dan menurut ujungnya. Kesanggupan manusia hanyalah sekeliling benda. Dan di antara anasir benda dengan anasir hidup, terdapatlah sesuatu jurang yang sangat dalam, yang tidak dapat diseberangi lagi oleh ilmu.

Mau tidak mau, sesampai di sana manusia terpaksa tunduk. Setinggi-tinggi akal hanya dapat mengetahui khasiat barang yang ada, tetapi tak sanggup menciptakan. Sekali lagi terlompatlah dari mulut 'ALLAH'.

Bilamana ucapan 'ALLAH' telah terlompat dari mulut, meliputi dia kepada segala yang difikirkan itu.

Beribu ahli fikir, beribu filsuf, beribu sarjana, membanting fikiran buat merenung dan menyelidiki, mencari tahu SIAPA DIA?

Maka datanglah 124.000 Nabi dan Rasul. Utusan dari yang memegang dan menciptakan segala rahsia itu, menyampaikan jawab itu kepada seluruh perikemanusiaan. Dengan lidah mereka disampaikan
Maksudnya : Akulah Allah! Tiada Tuhan, melainkan Daku  أَنَا ٱللَّهُ لَآ إِلَٰهَ إِلَّآ أَنَا۠
Yang tetap kelihatan ialah perubahan. Perubahan itulah ketetapan Alam ini. Daratan dan lautan berubah. Gunung dan bukit, bahkan Gunung Himalaya yang terkenal, pun senantiasa berubah. himalaya yang sekarang bukanlah Himalaya yang kelmarin, dan yang nanti pun bukan lagi yang sekarang. Ilmu geologi telah dapat mengetahui bahawa peraturan yang tetap dalam Alam ialah berubah. Bumi ini sendiri pun, melalui lebih dahulu perubahan-perubahan beribu-ribu, bahkan miliunan tahun, baru mencapai kepada bentuk yang sekarang dan keadaan yang sekarang. Mazhar (kesan) yang dipermainkan oleh air, sejak dari hujan, sungai, sampai kepada lautan sampai air itu naik lagi ke udara; gerak yang hebat sebagai gempa bumi, kerana tanah runtuh di dalam perut bumi atau kerana letusan gunung berapi. Ini tenaga yang dinamai 'tarik-menarik' atau apa yang dinamai 'listrik', semuanya itu dicari 'sebab-akibatnya oleh sarjana. Illat ditafsirkan dengan Illat yang lain. Sebab dicari pula sebabnya. Namun akhirnya dari perjalan mengumpul sebab dan akibat, mesti tertumbuk kepada pertanyaan yang tak dapat dijawab lagi. Kita berdiri ke tepi laut. Kita lihat ombak bergulung. Lalu kita bertanya:

Mengapa ombak itu bergulung?
Kerana udara!
Mengapa udara bergerak?
Kerana hawa panas!
Dari mana datangnya panas itu?
Dari Matahari?
Siapa yang meletakkan panas pada Matahari?
.......... DIAM!

cont.... Insya-Allah.

No comments:

Post a Comment