Sunday 26 May 2013

Perjalanan Muslim


Hampir dua tahun berdakwah di pedalaman Sabah, pastinya terlalu banyak kejadian yang dialami dan boleh dikongsikan sebagai pengajaran dan sempadan.

Ramai yang bertanya, apakah langkah yang saya gunakan untuk berdakwah?

Berdakwah ada caranya. Pastinya model Rasulullah SAW terbaik untuk diikuti dan dicontohi.

Merujuk kepada hadis yang diceritakan oleh Sayidina Mu’az Ibnu Jabal,  itulah asas yang saya ikuti untuk berdakwah.

“Dari Mu'az r.a., katanya: "Saya diutus oleh Rasulullah SAW lalu beliau SAW bersabda: "Sesungguhnya engkau akan mendatangi sesuatu kaum dari ahlul kitab - Yahudi dan  Nasrani, maka ajaklah mereka itu kepada menyaksikan bahawasanya tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawasanya saya adalah pesuruh Allah.


Jikalau mereka telah mentaati untuk melakukan itu, maka beritahukanlah bahawasanya Allah telah mewajibkan atas mereka akan lima kali sembahyang dalam setiap sehari semalam. Jikalau mereka telah mentaati yang sedemikian itu, maka beritahukanlah kepada mereka bahawasanya Allah telah mewajibkan atas mereka sedekah - zakat - yang diambil dari kalangan mereka yang kaya-kaya, kemudian dikembalikan - diberikan -kepada golongan mereka yang fakir-miskin.

Jikalau mereka mentaati yang sedemikian itu, maka jagalah harta-harta mereka yang dimuliakan – yakni yang menjadi milik peribadi mereka. Takutlah akan permohonan - doa - orang yang dianiaya - baik ia muslim atau kafir, karena sesungguhnya saja tidak ada tabir yang menutupi antara permohonannya itu dengan Allah - yakni doanya pasti terkabul." (Muttafaq 'alaih)


Mulakan dengan memperkenalkan Allah dan Rasulullah kepada manusia, hingga mereka mahu beriman dan mengikrarkan keIslaman dengan mengucap dua kalimah syahadah.

Setelah mereka mahu beriman dan memeluk Islam, ajarkan mereka solat lima waktu sehari semalam. Tunjukkan cara dan beri bimbingan. Solat bersama mereka setiap waktu, hingga sebati jiwa mereka rindu ingin menyembah Allah.

Seterusnya didik mereka menghayati Islam dengan mengajar ilmu berkaitan hukum hakam Islam yang lainnya, hingga wujud penghayatan cara hidup Islam dalam kehidupan mereka.
Laluan dakwah 2011-2013
Peringkat awal, bermula Julai 2011, saya dan isteri ke pedalaman Sabah, khususnya kawasan yang bermula dari Sepulut hingga ke Pensiangan dalam daerah Nabawan, sekadar berziarah.

Kami cuba ziarahi setiap rumah di kampung-kampung, tidak kira kenal atau tidak. Memang kebanyakannya kami belum kenal kerana pertama kali tiba di sana. Setiap kunjungan kami pastikan ada buah tangan dibawa bersama sebagai hadiah untuk mereka.

Kebiasaannya kami akan bawa bungkusan yang berisi sekarung beras, gula, kopi, satu tin sardine, garam dan bawang. Cukup untuk satu sajian makan malam bagi satu keluarga kecil. Lebih-lebih lagi kami tidak punya tempat persinggahan yang tetap ketika itu. Jika kami kemalaman, di rumah mana saja yang mengizinkan kami menumpang bermalam, di sanalah kami akan tidur.

Kami ulang langkah ziarah itu setiap kali ke sana, dalam kekerapan 3 minggu hingga sebulan sekali. Rupanya ziarah kami berulang kali itu menimbulkan persoalan di benak hati mereka. Mungkin kerana sebelum ini tiada yang datang sedemikian rupa. Kalau adapun hanya sekali, atau lima tahun sekali ketika hampir pilihanraya.

Biasanya mereka akan bertanya, “Apa tujuan tuan ke sini?”

“Saya mencari saudara saya.” Jawab saya.

“Mana boleh! Tuan orang Melayu, kami orang Murut, mana boleh jadi saudara…?” mereka bertanya penuh kehairanan.

Saya jelaskan, “Sebenarnya saudara yang saya cari ialah saudara Islam. Dalam Islam kita semua bersaudara. Jika ada di kalangan kamu yang Islam, dialah saudara saya. Wajib  saya lihat keadaannya, beri bantuan dan bimbingan kepadanya.”

Setelah mendengar penjelasan, mereka terdiam, mungkin berfikir…

Tidak lama selepas itu, biasanya akan ada yang menelefon saya, “Ustaz, saya mahu jadi saudara Ustaz!” Maksudnya ingin memeluk Islam.

Dalam kunjungan seterusnya, mereka yang ingin jadi saudara itu diberi penerangan tentang Islam. Waktu itulah mereka berkumpul sekeluarga mendengar tentang Allah dan Rasulullah. Hati terbuka, turun hidayah Allah, lalu mereka mengucap kalimah suci, dua kalimah syahadah.

Rupanya, perkataan “saudara” itu amat menarik hati mereka untuk mengenali Islam. Benar, Islam itu memecah segala tembok asabiyah, kebangsaan atau kesukuan.

Dalam bahasa murut, saudara itu disebut pahaka. Saya namakan perahu yang kami bina dan gunakan di sungai-sungai pedalaman sebagai PAHAKA-KU, sebagai lambang persaudaraan yang utuh di dalam Islam. Hingga kini semakin ramai yang punya impian menjadi saudara Islam, insyaAllah.

Benarlah sabda Rasulullah ﷺ, “Saling berhadiahlah kamu, nescaya kamu akan saling sayang- menyayangi.” (HR Bukhari)







محمد فضلي بن يوسف
25 Mei 2013

Silakan share

(Jika ingin kongsikan di blog, atau di copy paste ke nota anda, sila nyatakan nama saya dan buat pautan ke FB saya, agar saya mudah menjawab segala persoalan yang timbul dari artikel ini. Link terus ke FB saya: http://facebook.com/mfadli11 atau ke note ini, https://www.facebook.com/notes/mohd-fadli-yusof/langkah-demi-langkah-berdakwah/10151721315531719


1. Jika anda ingin berkongsi saham akhirat untuk misi  dakwah di pedalaman Sabah. Keperluan untuk perjalanan pendakwah dan kebajikan mualaf antara yang amat diperlukan. Jika anda bermurah hati untuk menderma atau zakat, bolehlah masukkan ke akaun saya, 

164427309874 Mohd Fadli Yusof, Maybank.
14290000431202 Mohd Fadli Yusof, CIMB.
14014020737552 Mohd Fadli Yusof, Bank Islam.
email mfadli11@yahoo.com
Kalau sudah masukkan sumbangan, tolong nyatakan jumlahnya dan bila masa dimasukkan.

2. Akaun wakaf untuk pembinaan asrama dan kelas pengajian:

PUSAT PEMBANGUNAN AS SABAH (MAYBANK)564427506145

3. Sumbangan berbentuk barangan seperti CD/VCD, buku panduan solat, buku Iqra', Al-Quran terjemahan, alat tulis, telekung, tudung dan lain-lain boleh dikirim terus ke:
ZAKI YUDIN BIN ABD RAHIM, PETI SURAT 340, 89007, KENINGAU, SABAH. Tel: 013-8752989.

No comments:

Post a Comment